Photobucket
Photobucket

Tuesday, March 29, 2011

Demi Cinta Allah

Dia ingin berubah. Dia ingin jadi seperti dahulu. Sentiasa mengingati Allah, sentiasa takut akan azab-Nya, sentiasa taat pada perintahn-Nya, dan sentiasa jaga batas pergaulan. Dia yakin dan percaya, perempuan yang dijaga oleh Allah, pasti tidak akan membenarkan mana-mana tangan lelaki menyentuh dirinya.

Namun, takala dia merasakan dirinya cukup bahagia dengan hidayah Allah, Allah menguji dirinya. Allah menghadirkan dirinya dengan seorang lelaki yang menuntut balasan cinta. Dirinya dimewahkan dengan kata-kata pujian, dengan gurindam rindu dan madah-madah cinta yang sebelum ini tidak pernah meneroka hati dan jiwanya.

Dia percaya cinta dari Allah, tapi dia lupa itu bukan caranya. Dia alpa. Hatinya sudah tidak seperti dahulu. Hatinya dilimpahi rasa rindu si jejaka. Rindu si nafsu yang mengwar-warkan kemanisan cinta manusia. Bukan dia tidak sedar dia sudah berubah, bukan juga dia tidak sedar bahawa ketenangan hati yang pernah dianugerahkan oleh Allah semakin menjauhi. Dia menutup kesedaran itu dengan janji dan kata-kata cinta si jejaka.

Dia sudah jauh dari hidayah Allah. Imannya rapuh, syaitan menari-nari tatkala dia membenarkan tangan rakus si jejaka menyentuh dirinya bersama alunan syahdu janji kekasih. Tempat yang sepatutnya dia jaga, didedahkan. Kononnya yakin si jejaka adalah suaminya.

Tidakkah dia takut dengan dosa atau dengan azab Allah?. Ya, dia sedar tetapi separa sedar. Rasa sayangnya pada jejaka itu mulai melebihi segalanya. Namun, syukur pada Allah, Allah masih sayang padanya. Jejaka itu gagal menawan mahkota dirinya. Saat dirinya berutus cinta, dia masih lagi solat, dia tidak lupa tanggungjawabnya. Namun mungkin solatnya masih tidak sempurna lalu robohlah benteng imannya dipukul ombak nafsu cinta manusia.

Allamdullilah. Allah menurunkan hidayah pada dirinya. Di saat jejaka menyepikan diri seketika, dirinya dilanda rasa berdosa. Mengingati kembali dosa-dosa yang dilakukan, mengalir air mata kekesalan. Disaksikan kegelapan malam, dia bangun untuk bersolat taubat. Menangislah dirinya sepuas-puasnya. Dia memohon petunjuk pada Allah, dia ingin kembali, kembali atas cinta. Demi cinta Allah yang tidak pernah berpaling dari hidupnya dia nekad untuk berubah. Namun hatinya sedikit takut akan janji Allah.

"Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitu sebaliknya."

Apa yang patut dia lakukan kini. Dia mula merasakan dia bukan dari kalangan wanita yang baik-baik. Tidak layak untuk sesiapa. Dia menutup pintu hatinya seketika dari cinta manusia yang bernafsu yang mengeruhkan kolam keimanannya yang pasang surut. Sehingga ditakdirkan Allah untuk dirinya bertemu dengan seseorang yang mencintainya kerana Allah.

"Demi cinta Allah yang ku kejar, kuatkan hatiku untuk bertahan, berikan ku kecerdasan akal untuk sentiasa berfikir tentang kuasaMu, hulurkan pertolonganMu di saat-saat aku hampir tewas, sinarkan nur hidayahMu untuk aku terus di jalanMu. Ya Allah! Aku memohon keampunan kepadaMu."

Wednesday, March 23, 2011

Tudung Labuh dan Safety Factor


“Okey, ada apa-apa yang hendak ditanya lagi?”, mungkin sahaja ini adalah kata penamat pada malam ini sebelum bersurai.

"Emm...Abah, saya nak tanya satu soalan boleh tak?", suara Azhan pantas mencelah.

Aku melihat jam pada tangan. 11.30 malam waktunya. Selalunya waktu sebegini sudah dikira lewat pada perkiraan manusia di negara burung Kiwi ini. Namun, aku kagum dengan semangat anak-anak muda Islam Auckland yang masih lagi hangat berbicara tentang Ad-Din ini di kala malam menuju usia pertengahannya.

"Silakan bro...tak ada hal punyalah.", jawabku.

"Abah, kenapa ada sesetengah orang perempuan pakai tudung yang labuh sangat. Kalau dah menutup dada itu dah kira ok la kan. Dalam Quran pun dah sebutkan kalau menutup itu biar sampai menutup dada. Buat apa nak pakai tudung besar-besar macam tu. Nampak macam..."

"Macam cendawan yang comel-comel warna merah tu?", sambungku memotong bicaranya.

"Haa? Cendawan? Kenapa cendawan?"tanya Ipin.

"Sebab kepala cendawan tu kan bulat dan labuh sampai ke separuh badannya."

Jenaka sepontanku disambut ketawa kecil adik-adik ini. Aku mencelah kerana aku tidak mahu perempuan yang menjaga kesederhanaan diri itu dilebel yang bukan-bukan. Cendawan yang comel mungkin berpada.

Aku diam seketika, memikirkan bagaimana caranya aku hendak meyakinkan adik-adik ini. Kesemuanya adalah pelajar tahun pertama jurusan kejuruteraan; manusia yang kebanyakan masa berhujah dengan logik akal dan prinsip-prinsip fizik.

“Semua dah ambil mata pelajaran Introduction to Engineering Design kan? Pernah tak dengar konsep Safety Factor?”

Aku memerhati kesemua mereka. Ada yang mengangguk dan ada yang menggelengkan kepala.

“Safety Factor ialah satu prinsip dalam rekaan apabila seseorang jurutera itu melebihkan sesuatu perkiraan kejuruteraan untuk mengambil kira faktor-faktor yang tidak diketahui demi menjamin keselamatan produk yang direka."

“Contohnya, dalam situasi mereka jambatan, perkiraan ketebalan pasak utama yang diperlukan adalah 50cm. Disebabkan ada faktor-faktor yang tidak dapat dikenal pasti sama ada kadar perubahan halaju angin yang mendadak, kadar pemendapan tanah yang berubah secara drastik akibat aliran air bawah tanah yang tidak menentu ataupun faktor-faktor lain, ketebalan pasak utama itu ditingkatkan sebanyak faktor 1.5. Maka, ketebalan yang akan digunakan ialah 75cm”, aku menjelaskan dengan panjang lebar. Biar panjang asalkan mereka faham aliran hujahku ini. Safety Factor dalam berhujah.

“Jadi Abah, tak ke over design kalau macam tu? Membazir namanya”, tanya Hairi.

“Tak, bro. It is an investment. Bayangkan kalau apa-apa yang terjadi pada produk yang direka dan dalam kes tadi ialah jambatan. Kalau jambatan tu runtuh, tidak ke kita yang rugi. Di saman, diheret ke mahkamah atas negligence dan silap-silap boleh di penjara. Lebih teruk kalau ada nyawa yang terkorban atas kelalaian kita. Macam mana kita nak jawab dengan family mereka. Jadi, dalam soal keselamatan tiada kompromi, bro”, terangku lagi.

“Siapa boleh teka industri apa yang paling tinggi dalam safety factor?”, aku sengaja menyoal untuk menguji adik-adikku ini.

“Oil and gas?”, teka Muiz dan yang lain hanya memandang Muiz untuk mengharapkan Muiz menjawab lagi dengan jawapan-jawapan rawak agar mengena sasaran. Aku hanya tersenyum memandang telatah mereka.

"Aviation industry, bro. Sesetengah rekaan menetapkan safety factor tertinggi iaitu faktor 4."

"Jadi, dapat kaitkan konsep safety factor dengan tudung labuh tadi?”

Aku dapat melihat mereka mengangguk-angguk kecil. Harap-harap itu tandanya faham bukan tanda mengantuk. Aku menyambung kembali peneranganku.

Memang memakai tudung, wajib labuh mentup dada. Tapi soalan yang diajukan Azhan tadi, "kalau sudah menutup dada, how labuh is 'labuh'?”.

Labuh sampai menyapu jalan atau bagaimana? Kadang-kadang, seseorang wanita itu dalam satu posisi yang apabila memakai hijab yang hanya menutup 'cukup-cukup', maka aurat yakni dada mereka mungkin terselak.

Contohnya, sewaktu bersukan, membongkok untuk mengambil barang yang terjatuh di atas lantai and macam-macam lagi. Jadi, mereka melabuhkan lagi tudung mereka supaya tidak terselak dalam situasi-situasi yang tidak dijangka.

Sama seperti safety factor juga, cuma yang berbeza adalah mereka menjamin keselamatan diri mereka dan orang lain dari azab api neraka. Kalau sudah menjaga keselamatan dari api neraka, itulah the highest safety factor."

"Macam mana, tidakkah cantik begitu?", satu retorik agar mereka berfikir.

Wallahua'lam.

Tuesday, March 22, 2011

Cantik Dipandang


"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." [Hadis Riwayat Ahmad]

Rama-Rama Halus Sayapnya

Melihat gelagat rama-rama membuatkan ramai orang menjadi suka, ceria dan terpesona. Ramai yang akan tersenyum melihat kecantikan rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Pasti ada yang tidak kena jika ada bunga yang tidak dihinggapi rama-rama.

Ramai yang akan tertarik untuk menangkap rama-rama apabila melihat ia terbang berkeliaran di udara. Kecantikan rama-rama terletak pada warna dan corak sayapnya. Akan tetapi kecantikannya tidak akan kekal jika banyak tangan yang menyentuhnya.

Warna dan corak rama-rama pasti akan melekat pada jari jemari apabila kita menangkapnya. Selepas itu tiada sesiapa yang akan tertarik padanya lagi. Keindahan rama-rama telah hilang untuk dikagumi.

Indah Ibarat Wanita.

Wanita adalah hiasan dunia. Rama-rama ibarat wanita. Wanita indah untuk dilihat, tetapi nilai dirinya akan merosot setiap kali ada tangan-tangan kotor mencemari atau menyentuhi tubuhnya. Harga diri dan maruah mudah tercemar jika tidak dijaga dengan sempurna.

Begitulah wanita. Kecantikan wanita bagaikan rama-rama yang terbang membawa keindahan corak pada dirinya. Ia akan membuatkan lelaki mudah tertarik pada wanita. Tetapi untuk menjaga harga diri seorang wanita, bukanlah dengan membiarkan kecantikannya disentuh, dipegang oleh semua yang tertarik padanya. Biarlah kecantikan pada wanita itu diperolehi melalui jalan yang diredhai Allah.

Wanita harus menjaga harga kecantikan dan keindahan seorang wanita menurut ketentuan dan panduan yang Allah ajarkan di dalam al-Quran yang telah di sampaikan oleh RasulNya. Hanya dengan menuruti perintah Allah, kemuliaan, harga diri, kecantikan, dan keindahan seorang wanita akan terjaga dan terpelihara.

Wanita Yang Lebih Baik Dari Bidadari

Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya: Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?" Baginda menjawab, "Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin."Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu? Baginda menjawab, "Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning..." (Hadis Riwayat al-Tabrani)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Hadis riwayat Bukhari)

Sahabat Sejati Dunia dan Akhirat


Mempunyai satu sahabat sejati lebih berharga dari seribu teman yang mementingkan diri sendiri.

Apa yang kita alami demi teman kadang-kadang melelahkan dan menjengkelkan, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah.

Semua orang pasti mahukan sahabat sejati, namun tidak semua orang berhasil mendapatkannya. Banyak pula orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianati sahabatnya.


12 sifat sahabat sejati

  1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu
  2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, ia akan membalas balik persahabatanmu itu.
  3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang atau sebagainya ia akan membantumu.
  4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.
  5. Jika ia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, ia akan menghargai dan akan menyebut kebaikanmu itu.
  6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
  7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
  8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta) ia akan menanya kesusahanmu.
  9. Jika datang sesuatu bencana kepadamu, ia akan meringankan kesusahanmu.
  10. Jika engkau berkata kepadanya, ia akan membenarkanmu
  11. Jika engkau merancang sesuatu, nescaya ia akan membantu.
  12. Jika engkau berdua berselisih faham, nescaya ia kan lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Monday, March 21, 2011

MENGAPA WANITA MEMERLUKAN LELAKI???


Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.

Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.

Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.

Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.

Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok-belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.


Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita sebagai wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua. Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa. Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.

Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.

Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.

Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.

Dan kerana tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

Tetapi kerana ciptaan tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana fitrah kejadian tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.

Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah.

"wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah untuk melaksanakannya." (Al-Ahzab:3o)